Senarai Semak 5 : Gangguan Obsesi-Kompulsi

Artikel-artikel senarai semak 1 hingga 4

  1. Senarai Semak 1: Episod Tekanan Utama (Major Depressive Disorder)
  2. Senarai Semak 2 dan 3: Gangguan Panik dan Agoraphobia
  3. Senarai Semak 4: Fobia Sosial (Social Phobia)

Kamal, merupakan seorang pelajar perubatan dan sering menjadi antara pelajar terbaik di antara pelajar-pelajar yang lain. Setiap tahun dia berjaya memperoleh Anugerah Dekan. Dia juga seorang yang aktif bersukan dan berpidato. Dia kelihatan normal berbanding pelajar-pelajar yang lain. Walaubagaimanapun dia mempunyai satu kelemahan iaitu sering berasa was-was ketika solat dan juga mengambil wuduk. Dia akan mengambil masa yang sangat lama hanya untuk selesai mengambil wuduk. Kadang-kala apabila solat, dia seringkali berpatah balik untuk mengambil wuduk semula. Jika orang lain hanya mengambil masa 5-1o minit untuk selesai solat, beliau mungkin mengambil masa sehingga setengah jam!

Kamal berkemungkinan menghadapi Gangguan Obsesi-Kompulsi.

Gangguan Obsesi-Kompulsi (Obsessive-compulsive disorder) adalah salah satu penyakit psikiatri yang biasa dan kronik dalam masyarakat di seluruh dunia. Penyakit ini, selain diklasifikasikan sebagai obsesi dan kompulsi, ia juga selalunya berkait rapat dengan perasaan risau yang terlampau dan juga kemurungan. Secara statistik, purata umur pesakit adalah dalam 20 tahun, 70% bermula sebelum umur 25 tahun dan 15% selepas umur 35 tahun. Nisbah insiden antara lelaki dan perempuan adalah sama dan secara umumnya terjadi dalam 0.5 hingga 2 % dalam populasi masyarakat.

Untuk itu, mari kita sama meneliti senarai semak berikut;

Dalam bulan yang lalu, adakah anda diresahkan dengan fikiran, dorongan atau bayangan lalu yang tidak diingini, tidak menyenangkan, tidak wajar, mendesak atau menekan? Misalnya salah satu *fikiran bahawa diri anda adalah:

  • kotor, tercemar, atau mempunyai kuman?
  • takut mencemari orang lain?
  • takut mencederakan seseorang walaupun anda tidak inginkannya?
  • takut anda akan bertindak mengikuti dorongan tertentu?
  • takut atau mempunyai kepercayaan karut bahawa anda bertanggungjawab atas hal-hal yang salah?
  • penuh dengan fikiran, bayangan atau dorongan seksual?
  • mengumpulkan barang-barang?
  • banyak berfikir tentang agama?

*Tidak termasuk kebimbangan berlebihan terhadap masalah dalam hidup yang nyata, obsesi yang berkaitan dengan gangguan makan, penyimpangan seksual, perjudian patologik, atau penyalahgunaan alkohol atau ubat. Ini kerana pesakit dapat menikmati keseronokan dari aktiviti tersebut dan mungkin ingin melawannya atas sebab akibat negatif yang ada

ATAU,

Dalam bulan yang lalu, adakah anda melakukan sesuatu berulang kali tanpa menahannya, seperti mencuci atau membersihkan secara berlebihan, mengira atau memeriksa berulang kali, atau mengulangi, mengumpulkan, mengatur barang-barang, atau menjalankan upacara kepercayaan karut?

Jika YA,

Adakah hal itu tetap datang kembali ke dalam fikiran anda meskipun anda cuba tidak menghiraukan atau berusaha menghilangkan hal itu?

Jika YA,

Adakah anda berpendapat bahawa obsesi ini merupakan hasil fikiran anda dan bukan dikenakan dari luar?

Jika YA,

Adakah anda menyedari bahawa fikiran obsesi dan/atau tingkah laku kompulsi anda berlebihan atau tidak masuk akal?

Adakah fikiran obsesi dan/atau tingkah laku kompulsi ini menganggu kegiatan harian, pekerjaan, aktiviti atau hubungan sosial anda, atau menghabiskan waktu lebih dari satu jam sehari?

Jika YA bagi kesemua perkara di atas, anda kini telah disahkan mengalami Gangguan Obsesi-Kompulsif!

Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang itu unik dengan sifat dan perangai masing-masing yang tesendiri. Namun, sekiranya sikap itu memudaratkan diri atau orang lain, pesakit hendaklah mendapatkan rawatan daripada pakar dengan segera. Rawatan bagi penyakit ini dibahagikan secara psikologi, farmakologi dan juga fizikal :

Psikologi

Pesakit memerlukan Psikoterapi (Psychotherapy) terutamanya sokongan yang kuat daripada pihak keluarga. Psikoterapi yang berorientasikan kerohanian (dalaman) ternyata efektif dalam merawat segelintir pesakit. Terapi sikap (Behavioural Therapy) amat berguna kepada pesakit yang bersikap ritualistik; berhenti berfikir dapat membantu dalam memberi renungan, dan beberapa teknik bagi menangani masalah obsesi. Terapi Kognitif (Cognitive Therapy) selama ini tidak terbukti keberkesanannya.

Farmakologi

Anda boleh perujuk kepada doktor pakar dalam memilih sama ada ubat anti-kemurungan, anti-obsesi, anti-psikotik dan lain-lain, bergantung kepada simptom dan tahap penyakit tersebut.

Fizikal

Psikosurgeri (Psychosurgery) akan dipertimbangkan dalam kes-kes yang teruk atau tidak boleh diselesaikan dengan cara yang lain.

Artikel ditulis oleh Nurul Hakimah Khairir