Perutusan Aidilfitri Pimpinan PSIPUM sesi 2009/10

 

¬†Assalamu’alaikum wa Rahmatullah,

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

Alhamdulillah. Setelah sebulan kita ditarbiah dalam Universiti Ramadhan, kini kita telah bergelar “GRADUAN” bagi universiti tersebut. Dengan “ijazah” yang kita ada dari universiti tersebut, mudah-mudahan ia mampu memandu kita untuk kehidupan kita yang mendatang. Moga-moga kita mampu lagi bertemu dengan bulan yang mulia itu pada riwayat kita akan datang. Amin…

Setiap apa yang dicaturkan oleh Allah Taala sudah tentu punya hikmah tersendiri. Pada hari yang mulia ini, kita digalakkan bertakbir kepada Allah Taala. Apa makna takbir? Adakah sekadar menyebut kalimah “Allahuakbar”? Ia bukan sekadar itu.

Takbir ialah bila mana kita meyakini bahawa Allah Taala yang paling Besar. Tiada yang lebih besar dari Allah Taala. Biasiswa kita, kereta-kereta kita yang lawa, dekan fakulti yang mampu ban kita daripada exam, gangster yang kita takut, hatta pimpinan PSIPUM sendiri kecil berbanding Allah Taala. Maknanya, jika timbul kekeliruan yang mana satu hal yang perlu didahulukan jika hal itu soal agama atau soal lain, sudah tentu kita akan mengutamakan soal Allah. Itulah makna sebenar “takbir”.

PSIPUM juga merupakan persatuan yang menyahut seruan Allah Taala. Berbekalkan moto “PSIPUM Untuk Semua” pada sesi kali ini, berharap agar Islam tidak disempitkan untuk golongan tertentu sahaja. Bahkan Islam untuk semua. Non muslim pun seharusnya berasa tenang jika Islam yang memimpin mereka. Itulah yang sepatutnya. Sebab itu, kita juga digalakkan untuk berkunjung bukan sahaja ke rumah orang Islam, bahkan ke rumah orang bukan Islam semasa hari raya. Alangkah indahnya Islam, din yang diturunkan oleh Allah Taala.

Jadi, di samping kita bergembira dan “enjoy” pada hari lebaran ini, sama samalah kita hayati makna tersirat di sebalik aidil fitri itu sendiri. Salam kemaafan dari kami pimpinan PSIPUM sesi kali ini. Mohon maaf jika tidak mampu menahkoda kapal “PSIPUM” ini dengan baik.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.