Perutusan Aidil Adha Pimpinan PSIPUM sesi 2009/10

Salam ukhuwah. Salam pengorbanan. Salam Aidil Adha.

Aidil adha merupakan salah satu daripada 2 perayaan besar bagi ummat Islam. Namun, perayaan ini akan hanya menjadi satu rutin atau budaya, seperti perayaan perayaan lain, jika nilai di sebaliknya tidak diamati sebaiknya. Perayaan hanya akan menjadi medan bagi peniaga-peniaga meningkatkan keuntungan dan pasaran mereka. Hanya itu.

Berbicara soal pengorbanan, mungkin hanya manis di bibir, tetapi untuk mengamalkannya bukan mudah jika makna sebenar perjuangan tidak difahami dengan baik. Pengorbanan boleh diertikan seperti kita mempunyai kekasih yang amat kita sayangi. Sudah tentu, dalam soal kekasih ini, benda yang berat akan jadi ringan, mengantuk mampu jadi segar, letih mampu jadi bertenaga.

Kesimpulannya, pengorbanan hanya akan lahir jika wujudnya kasih sayang. Oleh sebab itu, dalam Islam, kita diajar “Tidak sempurna iman seorang mukmin itu, sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” Cantik bukan? Oleh sebab itu, Tuan Presiden PSIPUM sesi kali ini, Saudara Ismail selalu mengingatkan ahli PSIPUM soal kasih sayang sesama ahli. Perkara ini hanya akan kita dapat dalam satu organisasi yang meletakkan Islam sebagai dasar.

Ketahuilah, PSIPUM dan pengorbanan sangat berkait rapat. Aktif dalam PSIPUM tidak menjanjikan kebahagian seperti aktif di kolej kediaman. Melakukan gerak kerja PSIPUM tidak seperti melakukan gerak kerja di Kolej Kediaman. Kadangkala perlu mendahulukan duit sendiri, kadang kala terasa seperti kita bekerja keseorangan. Ada yang tewas di pertengahan jalan. Namun, bagi mereka yang tetap di jalan ini, sudah tentu yakin, bahawa habuan mereka bukan “di sini” atau di dunia ini. Mereka yang tegar di jalan ini, sudah tentu yakin, bahawa kita tak pernah berseorangan dalam medan ini.

Kerana, ketahuilah…. Allah sentiasa bersama kita.

Sekian, Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat berkorban.