Pemakanan Sihat – Antara Mitos dan Realiti

Semua orang mahukan badan yang sihat. Senaman, pemakanan dan gaya hidup yang aktif adalah elemen utama dalam mencapai tujuan itu. Namun, tidak ramai yang tahu akan apa itu pemakanan sihat yang sebenar. Ada yang sanggup berlapar, sanggup bersenam berjam-jam tetapi makan apa sahaja. Kombinasi senaman dan pemakanan yang tidak berpadanan ini akan menjadikan tubuh anda tidak sihat. Berikut merupakan antara  mitos & realiti yang perlu anda tahu.

1. Kurang Pengambilan Air

Ada yang sanggup kehausan agar berat badan mereka tidak naik akibat ‘berat air’. Badan yang kekurangan air akan lebih menjadikan badan menjadi lemah dan mengganggu fungsi sel dalam badan. Air, susu dan jus adalah minuman terbaik untuk mereka yang aktif. Anda seharusnya kerap minum dan tidak hanya menunggu dahaga untuk minum. Dahaga adalah tanda amaran bahawa badan anda kekurangan air.

2. Kurang Pengambilan Kalori

Pengambilan kalori harian adalah berbeza mengikut individu. Anda tidak seharusnya tergopoh gapah untuk menurunkan berat badan kerana ia memerlukan masa yang tidak sedikit. Walaupun menurunkan berat badan melibatkan kalori, namun kehilangan secara mendadak adalah merbahaya. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan mensasarkan untuk menurunkan 0.5 hingga 1 kilogram seminggu. Pastikan anda bijak memilih makanan dalam mendapat kalori yang cukup untuk membolehkan badan anda berfungsi dengan sempurna.

3. Makan Apa Sahaja

Anda bersenam 3 kali seminggu, 20 minit setiap kali. Setiap petang anda mengambil masa untuk berjalan mengelilingi taman. Walaupun anda bersenam secara sihat, namun ia bukanlah tiket untuk anda makan apa sahaja yang anda mahu.  Kita semua memerlukan nutrien yang sama, sama ada kita bersenam atau pun tidak. Bijaklah memilih makanan dengan merujuk kepada piramid makanan.

4. Kurang Pengambilan Karbohidrat

Ada mereka yang mengambil langkah untuk mengambil diet harian rendah karbohidrat. Walaupun berat badan ternyata menurun, namun badan anda memerlukan karbohidrat untuk otot dan juga penyimpanan tenaga. Karbohidrat dalam badan akan bertukar menjadi lemak sekiranya anda tidak menggunakannya secara optimum dengan mengamalkan senaman.

5. Senaman Tapi Perut Kosong

Jika anda membiarkan perut anda kosong dalam tempoh yang lama, anda akan memaksa badan anda bekerja tanpa bahan bakar. Sebelum bersenam atau melakukan apa – apa aktiviti fizikal, pastikan anda mengambil makanan yang ringan terlebih dahulu walaupun sebiji epal.

6. Tidak Bersarapan

Sarapan pagi membekalkan tenaga dalam memulakan hari anda. Tidak tidak mengambil sarapan pagi bukan idea yang bagus kerana badan anda memerlukan bahan bakar secepat mungkin, dan tanpanya, anda akan kekurangan tenaga hingga ke waktu makan seterusnya.

Ditulis oleh Nurul Hakimah bt Khairir