Mati Otak dan Pendermaan Organ

Apakah yang dikatakan mati otak?

Mati otak adalah keadaan di mana tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak ( termasuk batak otak iaitu bahagian otak yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.

Keadaan yang menyebabkan mati otak

Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti. Ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan mesin (ventilator) seperti di unit rawatan rapi:

  • Kecederaan otak yang menyebabkan otak menjadi bengkak atau pendarahan di dalam kepala yang teruk.
  • Pendarahan secara spontan disebabkan urat saluran darah ke otak terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (arterio-venous malformation)
  • Pembengkakan otak disebabkan jangkitan kuman atau virus (encephalitis) ataupun ketumbuhan di dalam otak.
  • Strok ( angin ahmar) yang disebabkan sama ada pendarahan ataupun saluran darah yang tersekat.

Seseorang yang mengalami mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Walaubagaimanapun denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walaupun banyak sokongan yang telah diberikan. Apabila seseorang telah disahkan mati otak, bermakna dia telah pun meninggal dunia.

Bagaimana pesakit disahkan mati otak?

Pengesahan mati otak adalah dibuat oleh dua doktor pakar yang tiada kaitan dengan pemindahan organ setelah ujian-ujian tertentu dijalankan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian dilakukan sebanyak dua kali setelah melakukan pemerhatian selama beberapa jam untuk menentukan tiada perbezaan yang dilihat.

Mati otak dan pendermaan organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripida ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang telah disahkan mati otak.

Persoalan-persoalan mengenai mati otak dan pendermaan organ

1. Saya diberitahu oleh pakar perubatan bahawa ahli keluarga saya mengalami mati otak. Dengan segala peralatan sokongan yang diberikan, bagaimanakah pakar perubatan mengatakan bahawa ahli keluarga saya telah benar-benar meninggal dunia?

Jawapan: Pakar perubatan akan melakukan ujian-ujian tertentu untuk menjelaskan bahawa pesakit benar-benar telah meninggal dunia. Seseorang pesakit itu dikatakan telah meninggal dunia apabila:

  • Tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan pernafasan (ventilator).
  • Anak mata tidak memberi sebarang tindak balas terhadap cahaya.
  • Tiada tindak balas kesakitan.
  • Tiada tindak balas reflex oleh batang otak.
  • Ujian menunjukkan tiada pengedaran darah di dalam otak.

2. Saya difahamkan apabila individu tersebut meninggal dunia, jantungnya berhenti berdenyut. Sekiranya ahli keluarga saya mati otak, kenapa jantungnya masih berdenyut?

Jawapan: Jantung sebenarnya mempunyai pacemaker untuk memulakan denyutan. Dan jantung akan terus berdenyut selagi darah beroksigen dapat disalurkan ke jantung. Jantung boleh dikeluarkan daripada badan dan diletakkan dalam sesuatu larutan dan diberikan bekalan oksigen untuk terus berdenyut. Disebabkan itulah, sekiranya pesakit telah mati otak, jantung masih lagi boleh berdenyut buat beberapa ketika dan kemudian berhenti.

3. Adakah dengan memberhentikan alat bantuan pernafasan boleh menjadi penyebab kepada kematian ahli keluarga dan tidak memberinya peluang untuk melangsungkan kehidupan?

Jawapan: Apabila pesakit tersebut telah disahkan mati otak, pesakit tersebut sebenarnya telah meninggal dunia. Walaupun organ-organ lain masih lagi berjalan disebabkan bantuan pernafasan diberikan. Menghentikan bantuan pernafasan bukanlah punca kematian kerana pesakit tersebut sudah disahkan mati dari awal lagi. Tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengembalikan keadaan mati otak.

4. Adakah rawatan ke atas saya diabaikan sekiranya diketahui saya telah mendaftar sebagai penderma organ?

Jawapan: Tidak. Semua pesakit akan diberikan rawatan dan perhatian yang sewajarnya tanpa mengira sama ada anda telah mendaftar sebagai penderma organ atau tidak. Pegawai perubatan akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang perlu untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu hanya akan dibincangkan dengan waris selepas kematian telah disahkan.

5. Apakah organ dan tisu yang boleh didermakan?

Jawapan: Organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang jantung, hati, paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu pula adalah mata (kornea), tulang, kulit, dan injap jantung.

6. Adakah kami akan diberitahu organ mana yang diambil dan kepada siapa organ tersebut didermakan?

Jawapan: Pusat transplan akan memaklumkan kepada keluarga penderma berkaitan organ yang diambil dan sedikit maklumat berkaitan penerima. Namun begitu nama akan dirahsiakan dan tidak diberikan dan tidak diberikan kepada keluarga penderma dan penerima.

7. Adakah keluarga penderma perlu membayar kos pembedahan pemindahan organ atau tisu yang dijalankan?

Jawapan: Tidak. Keluarga penderma tidak perlu membayar kos pembedahan pemindahan organ. Namun begitu, kos rawatan sebelum pembedahan masih lagi dijalankan dibawah tanggungjawab keluarga penderma.

8. Bagaimanakah pemindahan organ dijalankan?

Jawapan: Proses pemindahan organ dan tisu adalah suatu pembedahan bersih dan steril. Pembedahan dijalankan oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badan penderma. Selepas organ dan tisu diperolehi, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna dan jenazah penderma tidak akan mengalami sebarang kecacatan fizikal. Proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat, tanggungjawab serta tertib sepertimana dengan pembedahan biasa.

Pastikan anda memberitahu keluarga terdekat bahawa anda telah mendaftar sebagai penderma organ. Ini kerana ahli keluarga anda adalah penentu hasrat murni anda tercapai.

Sekiranya anda terdapat sebarang pertanyaan dan soalan, anda boleh melayari:

http://www.agiftoflife.gov.my

Facebook: http://www.facebook.com/agiftoflife

Twitter:@ntrc_hkl

Email: [email protected]