Ketahui Fakta Sebenar dan Hakikat Minuman Ringan seperti Coca-Cola dan Pepsi (Bhgn 2)

Keburukan minuman ringan

Sambungan Ketahui Fakta Sebenar dan Hakikat Minuman Ringan seperti Coca-Cola dan Pepsi (Bhgn 1)

Asid

Minuman ringan sering dicampurkan dengan beberapa asid seperti asid sitrik, fosforik dan sesekali, asid malik atau tartarik untuk menambah ‘sengatannya’. Asid ini juga bertindak sebagai bahan pengawet yang memelihara kualiti sesuatu minuman.

Selain itu ia juga mengimbangi kemanisan minuman, dengan menjadikannya sungguh menyegarkan dan menghilangkan dahaga. Semua jenis minuman ringan terutamanya kola sangat berasid. Kajian menunjukkan untuk meneutralkan segelas kola, anda memerlukan 32 gelas air beralkali tinggi.

Di Britain tinjauan pada tahun 1993 mengenai Kesihatan Pergigian Kanak-kanak mendapati 20% kanak-kanak yang banyak minum minuman ringan mengalami kakisan pada bahagian dentin mereka.

Kerosakan bermula dalam tempoh 45 minit sesudah meminumnya dan berterusan selama sejam. Menurut Persatuan Pergigian Britain, menggosok gigi selepas meminum minuman bergula dan berasid boleh menambah kerosakan gigi.

Kajian dijalankan pada Perang Dunia ke 2 menunjukkan apabila gigi manusia dicabut direndam dalam minuman berkola, dalam masa dua hari gigi itu menjadi amat lembut dan permukaan enamelnya kehilangan sebahagian besar kalsium. Dalam ujian lain, gigi geraham tikus yang diberi makan secukupnya tetapi hanya meminum minuman kola didapati terbenam sehingga lapisan gusi selepas enam minggu.

Kajian British juga mendapati minuman ringan lebih berasid dan lebih bersifat mengkakis berbanding jus buah-buahan. Untuk mengetahui kadar keasidan minuman ringan yang dijual di sini, beberapa jenama telah diuji. (Perhatian: lebih rendah nilai pHnya, lebih berasidlah sesuatu minuman itu. Mana-mana minuman yang berada di bawah pH5.5 berpotensi menyebabkan kakisan pada gigi).

Penyakit sememangnya sukakan asid! Fosforus dalam asid fosforik misalnya boleh mengganggu imbangan kalsium-fosfat dalam tubuh dan melarut keluar kalsium daripada tulang. Ini akhirnya akan menyebabkan osteoporosis.

Fosforus juga melawan asid hidroklorik dalam perut dan menjadikannya tidak berkesan hingga mengganggu proses penghadaman dan menyebabkan kembung perut.

Pada hakikatnya, sesetengah penyelidik percaya buih dan gas dalam minuman ringan akibat asid fosforik berpotensi membakar bahagian dalam tubuh. Ternyata ia begitu tidak sesuai untuk tubuh manusia.

Karbon dioksida

Karbon dioksida merupakan bahan buangan yang dihembus keluar oleh manusia tetapi kita menelannya apabila meminum minuman ringan.

Karbon dioksida yang memberikan keadaan berbuih merupakan antara ramuan penting dalam minuman ringan. Ia juga mempengaruhi rasa sesuatu produk. Ia menjadikan minuman ringan lebih menyegarkan dengan merangsang selaput lendir di dalam mulut. Ia menghasilkan buih-buih yang merangsang lelangit dan meningkatkan deria rasa. Hasilnya air liur itu terasa lebih sejuk daripada keadaan sebenarnya.

Kehadiran karbon dioksida juga penting kepada industri kerana ia mencegah pertumbuhan mikro-organisma dan menjadikan minuman itu tahan lebih lama.

Air Suling

Air sememangnya ramuan utama dalam penghasilan minuman ringan. Minuman ringan biasa mengandungi 90% air semantara minuman diet mengandungi sehingga 99% air. Pengeluar menggunakan kaedah penapisan dan peralatan lain yang canggih untuk menyingkirkan sebarang bahan asing yang tidak larut bagi memastikan ia tidak mengandungi bahan yang tidak diingini.

Oleh itu tidak seperti air minuman yang mengandungi sisa beberapa unsur yang mempengaruhi rasanya, air yang digunakan dalam minuman ringan merupakan air yang tulen.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika, “Air suling, yang pada dasarnya bebas daripada campuran bahan galian, adalah sangat agresif iaitu ia cenderung melarut bahan-bahan yang bercampur dengannya.”

Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan golongan yang banyak meminum minuman ringan ( sama ada bergula atau tidak) menyingkirkan sejumlah besar kalisum, magnesium dan sisa bahan galian lain ke dalam air kencing.

Lebih banyak kehilangan bahan galian, lebih tinggilah risiko seseorang itu menghidap osteoporosis, hipotiroid, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, dan pelbagai jenis penyakit lain yang pada amnya dikaitkan dengan penuaan awal.

Pelbagai kajian juga mengesahkan kebaikan meminum air suling apabila seseorang itu ingin menyingkirkan sisa racun atau membersihkan sistem tubuh dalam tempoh yang singkat. Tetapi diet yang buruk dengan mengambil banyak makanan remeh dan minuman ringan boleh menjadikan tubuh lebih berasid.

Mengikut teori, pengumpulan produk sisa asid dalam tubuh boleh menyebabkan penuaan dan penyakit. Kajian menunjukkan semakin lama seseorang itu meminum air suling, lebih tinggi juga kencederungan mengalami kekurangan bahan galian dan berada dalam keadaan perut berasid.

Oleh itu, remaja yang meminum minuman ringan dari pagi hingga malam ke malam hanya mendedahkan diri kepada penyakit. Katakanlah ia merupakan seorang remaja perempuan bertubuh langsing. Jika ia meminum air soda dan cuba mengelak hidangan untuk mengekalkan kelangsingan tubuhnya, ia akhirnya akan mengalami masalah kekurang kalsium, yang seterusnya akan menyebabkan osteoporosis.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang The New York Times dan penulis buku Nutrition Book, Jane Brody, “Kekurangan kalsium semasa usia remaja sudahpun dikesan berlaku akibat penggantian susu dengan minuman berkarbonat atau minuman ringan lain. Lebih buruk lagi, sejumlah besar forforus dalam minuman ringan mengganggu imbangan kalsium kepada fosforus dalam diet dan mengurangkan kemampuan tubuh menyerap kalsium.”

Pengawet

Beberapa jenis pengawet digunakan dalam minuman ringan bagi menstabilkan mikrobial dan mencegah kerosakan. Minuman ringan biasanya tidak rosak kerana kandungan asid dan karbonatnya. Bagaimanapun, keadaan penyimpanan dan tempoh simpanan kadangkala boleh mempengaruhi rasanya. Oleh itu, sesetengah minuman ringan ditambahkan sedikit pengawet yang biasanya digunakan dalam makanan.

Bagaimanapun pengawet yang digunakan mungkin tidak dicatatkan pada label. Salah satu pengawet yang sering digunakan iala natrium benzoat (E211) atau lebih dikenali sebagai asid benzoik. Bahan penambah ini boleh memulakan serangan lelah, ruam kulit, dan keadaan terlalu aktif pada sesetengah orang.

Kami dapati bahan kimia ini terkandung dalam sekurang-kurangnya 14 jenama  minuman ringan yang terdapat di pasaran. Di bawah Peraturan Pemakanan 1985, paras selamat untuk asid benzoik dalam minuman ringan yang bertujuan untuk diminum tidak termasuk air mineral ialah 350 bahagian per sejuta (bps).

Dalam ujian yang kami jalankan, dua contoh minuman ringan didapati melanggar undang-undang makanan kerana mengandungi asid benzoik melebihi kadar yang benarkan. Kedua-dua minuman itu ialah F&N Orange Crush dan A&W Root Beer Frosty Mug Taste.

Kadangkala sulfur dioksida turut digunakan sebagai pengawet dan untuk mencegah warna sesetengah bahan seperti jus lemon daripada bertukar menjadi gelap. Ia juga bertindak sebagai antioksidan.

Sulfur dioksida merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan untuk memutihkan barangan. Ia boleh menyebabkan muka menjadi merah, pitam, ruam kulit tubuh membengkak, letih, sesak nafas dan bermacam-macam lagi kesan sampingan yang lain.

Bahan kimia ini begitu beracun sehingga pendedahan berulangkali padanya, walaupun tidak cukup tinggi untuk membuatkan anda sakit serta-merta, tetapi ia boleh menyebabkan perubahan genetik dalm sel-sel hidup.

Minuman ringan mudah diperolehi di mana-mana sahaja. Meminumnya pula sudah dianggap perkara biasa dan menjadi pilihan ramai terutama di musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang bakal kita sambut tidak lama lagi. Tetapi memandangkan keburukannya kepada kesihatan, bukankah lebih baik jika anda menukar selera kepada jus buah-buahan segar yang lebih berkhasiat?

Sebelum berakhirnya pembacaan anda mari kita lihat apa yang minuman ringan Coca-Cola dapat lakukan pada telur ini. Lihat video dibawah.

http://www.youtube.com/watch?v=3kpJwnRMu_M