Gagasan Hospital Islam: Mencorak Masa Depan Dunia Perubatan

“Hmm… Pak cik, sejak masuk hospital, sembahyang kat sini ok?” tegur seorang doktor, usai bertanyakan maklumat seorang pesakit.

“Ish… macam mana nak sembahyang, seluar pak cik ni kotor,” seorang lelaki 60-an menjawab acuh tak acuh.

“Oh, kalau pak cik ada kain, boleh tukar dulu, kalau tak ada, selagi seluar tak kena najis, masih boleh guna untuk sembahyang. Kalau dah darurat sangat, pak cik boleh guna apa yang ada, Islam ni mudah,” doktor tersebut cuba memberi jawapan terbaik, yang memudahkan.

“Tapi kalau nak sembahyang pun, tak ada surau kat sini.”

“Surau memang tak ada dekat-dekat sini. Tapi pak cik boleh sembahyang tepi katil ni.”

“Eh, tak mau pak cik! Kalau ada surau, seluar bersih, senang sikit.”

Doktor tersebut menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bingung dengan jawapan terbaik yang perlu diberikan lagi.

Ini bukan fenomena aneh di hospital. Mencari solusi supaya sekurang-kurangnya mudah untuk pesakit beribadah. Pada waktu ini, terdapat beberapa hospital yang menyediakan surau yang selesa, mengambil konsep “satu aras, satu surau” seperti di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), “Hospital mesra ibadah” di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan beberapa lagi.

Namun, dalam mengisi keperluan pembawaan ISLAM dalam bidang perubatan, adakah hanya sekadar menyediakan tempat sembahyang?

Islam Sebagai Ad-deen

Islam bukan untuk mengisi kelompangan diri pada saat memerlukan tempat bergantung tatkala berhadapan situasi genting, dan tentunya bukan sekadar solat dan puasa!

Islam adalah cara hidup. Setiap apa yang dilakukan, ada ‘guide-line’. Nak makan perlu basuh tangan, baca Basmalah, ambil lauk yang dekat, baca Basmalah sebelum makan, makan makanan yang baik dan halal serta berhenti sebelum kenyang. Dengan hanya satu rutin, banyak hikmah yang Islam ‘ajarkan’. Tentunya, daripada sebesar-besar perkara seperti adab yang perlu dijaga semasa berperang dengan musuh yang menyerang, sehinggalah rutin harian seperti masuk tandas, semua itu ada panduannya.

Perlukah berpandu? Cukuplah dengan satu anologi mudah. Perlukah rakyat kepada undang-undang? Apa akan terjadi andai kata tiada undang-undang di negara ini (secara umum tanpa melihat kepada perlaksanaan dan ketepatan penetapan undang-undang tersebut)? Ya, sudah pasti jenayah makin berleluasa. Maka dalam skop yang lebih besar dan praktikal, hanya Yang Maha Menciptakan lebih tahu apakah keperluan serta limitasi hamba yang bergelar manusia dalam mencorak kehidupan.

Misi Hospital Islam

Dalam merencana Islam dalam aspek perubatan, pasti perlaksanaannya perlu dilihat secara menyeluruh. Tidak cukup andai dikatakan sebuah hospital itu melaksanakan Islam jika hanya sebahagian perkara yang dipandang.

“Adakah dengan nama hospital ala-ala Arab dan Islamik maka dikatakan itu Hospital Islam?”

“Hospital itu adalah hospital Islam dengan menyediakan surau di setiap wad?”

“Pesakit perempuan semestinya dirawat oleh doktor perempuan dan sebaliknya?”

“Atau hanya dengan tambahan perubatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, herba-herba dan bahan asli yang lain baru boleh dinamakan Hospital Islam?”

Dalam memahami konsep Hospital Islam atau secara umumnya memahami pengurusan sebuah hospital, dapat dibahagi kepada stuktur, tenaga kerja (human resource), proses kerja dan teknologi. Maka dalam menggagaskan Hospital Islam, tidak dapat tidak, kesemua aspek ini perlu dipenuhi.

Apalah erti gah dengan nama Islam bersama kemudahan ibadah yang ‘tip-top’ tetapi rawatan pesakit diberikan secara ala kadar, doktor yang tidak berkualiti di samping muka yang masam mencuka dek seharian penat melayan ‘kerenah’ pesakit, persekitaran tegang yang tidak mesra menjemput serta bayaran yang terlampau mahal sehingga hanya golongan yang berkemampuan sahaja mampu berkunjung.

TIDAK! Islam tidak mengajar begitu. Maka tidak hairan timbul isu “hospital yang diuruskan oleh orang bukan Islam tetapi aspek pengurusannya dan perkhidmatnnya jauh ‘LEBIH ISLAM’ daripada hospital yang kononnya memegang ‘title’ Islam sendiri.”

Siapa tidak terpikat andai sebaik kaki melangkah, dihadiahkan dengan senyuman di mana-mana. Hati mana yang tidak sejuk dengan layanan mesra serta berkualiti daripada doktor dan jururawat. Perkhidmatan yang cemerlang dengan penggunaan teknologi perubatan terkini serta kos yang mengambil kira kedudukan kewangan pesakit tentunya membuatkan mereka pulang dengan kepuasan. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, ini yang berlaku pada kebanyakan hospital-hospital di Barat.

Pokoknya, inilah sunnatullah atau hukum alam yang perlu diperhalusi. Islam itu pula berdiri dengan Sunnatullah dan Syariatullah. Aspek ibadah pesakit perlu dijaga dan dalam masa yang sama, kualiti perhidmatan serta rawatan turut dipertingkatkan.

Konklusi:

  1. Pembawaan Islam dalam kehidupan perlu diamalkan secara menyeluruh.
  2. Konsep Hospital Islam perlu merangkumi semua aspek:
    2.1 Stuktur untuk berdirinya sebuah hospital termasuk pengurusan dan organisasi
    2.2 Sumber manusia iaitu tenaga kerja yang menggerakkan operasi sebuah hospital
    2.3 Proses kerja iaitu operasi perkhidmatan di hospital
    2.4 Teknologi dalam rangka kerja perkhidmatan

3.    Misi dalam membawa konsep Hospital Islam ini sedang digagaskan oleh beberapa NGO perubatan. Menjadi keperluan untuk misi ini difahami oleh semua pihak terutamanya pelajar-pelajar perubatan dan paramedik, doktor, jururawat serta semua staf yang terlibat dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Rujukan lanjut: http://www.islamichospitalmalaysia.com/

Oleh: Nur Atikah binti Razali

Pelajar Perubatan Fasa IIIA, Universiti Malaya