Cantikkan Kulit dengan Limau Purut

Tumbuhan limau purut atau nama saintifiknya Citrushystrix ini tidak kurang hebatnya dan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat.

Ia tidak ubah seperti limau biasa kecuali daunnya beranak manakala buahnya bulat tetapi menggerutu dengan rasa masam dan pahit.

Bagi suri rumah daun limau purut menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa makanan untuk memasak lauk tomyam, asam pedas, dan laksa.

Buahnya selalu dijadikan sebagai bahan yang penting dalam upacara mandi bunga dan mandi wap yang menjanjikan kesegarannya.

Kini terdapat pula teknologi terbaru untuk menghasilkan minyak wangi dan haruman aroma daripada pati limau purut. Selain kegunaan tersebut, limau purut juga mempunyai beberapa khasiat lain yang boleh diamalkan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan sakit kulit.

Limau purut juga boleh digunakan untuk mencuci rambut dan kulit kepala yang berkerak disamping mengatasi masalah kulit kering yang bersisik.

UntukĀ  mendapatkan kesegaran selepas mengalami kepenatan, dua genggam daun limau purut direbus terlebih dahulu. Rebusan itu kemudiannya dijadikan air mandian yang dapat memberikan kepuasan dan menjadikan badan anda kembali cergas dan segar.

Bagi membersihkan kulit kepala yang berkerak atau berkelemumur, buah limau tersebut dipotong atau dibelah dua sebelum disental pada kulit kepala yang mungkin menyebabkan terasa pedih.

Selepas disental, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Kaedah yang sama juga dilakukan untuk mengatasi masalah kulit kering yang bersisik yang selalunya diamalkan ketika mandi.

Sentalkan buah limau purut yang telah dibelah dua pada bahagian kulit yang bersisik dan biarkan seketika sebelum dibilas.